Alamat Kiamat Yang Ketiga Turun Nabi Isa Dari Langit


 Maka adalah Nabi Isa itu ialah seorang nabi yang turun dari langit dunia ini, kemudian daripada keluar Dajal Laknatullah. Maka memegang ia akan syariat nabi kita Muhammad s.a.w. Maka adalah warna kulitnya putih merah, rambutnya ikal (antara kerinting dan genjur).  Besar kepalanya, sederhana badannya, serta lebar dadanya, dan di atas dua bahunya ada dua helai kain kuning. Maka mukjizat Nabi Isa itu tiap-tiap kali ia bernafas, apabila mengenai akan kafir, matilah kafir itu. Maka membinasalah ia akan tanda salib (+) yakni tanda yang dipakai oleh orang yang beragama Kristian. Dan membunuh ia akan segala babi dan kera serta orang-orang yang kafir. Dan tiada mengambil ia akan hasil kepala, dan tiada menerima ia sekalian agama melainkan agama Islam jua. Dan lagi pada masa itu, rukun Islam tinggal empat sahaja iaitu :-
1.     Dua kalimah syahadah
2.     Sembahyang
3.     Puasa
4.     Haji

Tiada masuk zakat kerana tiada ahli yang menerimanya, oleh sebab pada ketika itu sekalian manusia masing-masing dengan kekayaan. Dan bahawasanya pada zaman itu, zahirlah pula beberapa perkara yang ajaib-ajaib iaitu:-
1.     Zahir harta-harta di dalam bumi seperti emas dan lain-lainnya
2.     Orang-orang pada masa itu tiada gemar atau tamak kepada menyimpan harta-harta kerana mereka telah mengetahui dunia telah hampir dengan kiamat
3.     Antara seorang dengan seorang dan sepuak dengan sepuak tiada berhasad dengki dan bermarah-marahan, oleh sebab masing-masing tiada ingat kepada harta benda lagi
4.     Dihilangkan bisa pada binatang-binatang hingga bermain kanak-kanak dengan ular dan kala
5.     Berbaik seteru dengan seteru hingga berkawan harimau dengan kambing
6.     Sekalian makhluk di dalam dunia ini hidup dengan makmur dan sentosa
7.     Tiadalah menyala api peperangan pada ketika itu walau sedikit pun
8.     Tumbuh-tumbuhan pada masa itu tersangat subur dan elok serta mengeluarkan hasil yang banyak seperti zaman Nabi Adam makmurnya; kerana masa Nabi Adam tersangatlah makmur serba serbinya begitu jugalah di zaman Nabi Isa A.s.
9.     Harga kuda tersangat murah kerana tiada peperangan
10. Harga lembu pula bertambah-tambah mahal sebab digunakan untuk membajak sawah; kerana kebanyakan bumi pada masa itu dibuat bendang.

Maka adalah tempat turun Nabi Isa itu ialah di sisi menara yang putih, pada pihak Masyrik di dalam Bandar di Damsyik di daerah negeri Syam. Pada ketika turunnya, dibawa oleh dua malaikat dan duduklah Nabi Isa antara dua sayap malaikat itu. Apabila sampai ia ke bumi, masuk ia ke dalam masjid Damsyik serta terus ia naik di atas mimbar. Maka masuklah sekalian orang Islam di dalam masjid itu, demikian juga Yahudi dan Nasrani. Masing-masing pada ketika itu berharap-harap kepada Nabi Isa. Dan pada ketika itu juga datanglah tukang bang daripada orang-orang Islam, dan orang Yahudi membawa serunai serta datang orang Nasrani membawa naqus (ketuk-ketuk); kerana mereka itu masing-masing menyeru manusia mengerjakan sembahyang. Dan pada masa itu juga dicabut undi kepada tiga puak itu, sesiapa yang kena undi pada menyeru sembahyang; tiba-tiba terkenalah undi itu pada orang Islam. Maka bang lah ia kerana hendak mendirikan sembahyang. Pada ketika itu, keluarlah segala Yahudi dan Nasrani daripada masjid itu kerana tidak kena undi mereka itu. Maka sembahyanglah Nabi Isa bersama-sama dengan segala orang Islam itu akan sembahyang Asar. Kemudian keluarlah Nabi Isa dengan orang-orang yang sembahyang itu. Maka membunuh oleh mereka itu Dajal, dan memerintah ia akan dunia selama 40 tahun dengan pemerintahan yang adil daripada segala hukum-hukumnya. Kemudian wafatlah ia, serta dikubur di sisi nabi kita Muhammad s.a.w.

No comments:

Post a Comment