Alamat Kiamat Yang Kedua Zahir Dajal

Gambaran Dajjal 
Dajal itu ialah terlebih besar fitnah di dalam dunia ini, kerana mendakwa ia akan tuhan. Maka adalah Dajal itu seorang yang sangat muda lagi tiada berjanggut, ada baginya misai, dan buta matanya sebelah. Kata sesetengah ulama buta sebelah kiri. Kata sesetengah tiada tertentu mata yang kiri yang buta itu, kerana berganti-ganti yang buta itu, pada satu waktu buta sebelah kiri, dan pada satu waktu buta sebelah kanan. Maka matanya itu sangat timbul bijinya seperti buah inab (anggur). Maka tiada ada bandingan seperti demikian mata itu. Dan tubuhnya sangat tambun, tingginya lapan puluh hasta. Lebarnya di antara dua belikat itu tiga puluh hasta. Panjang dahinya dua hasta, dan ada baginya tanduk patah pada kepalanya. Maka keluar daripadanya beberapa ular, rambut kepalanya itu seperti cawang kayu, tangannya panjang sebelah daripada yang satu. Mencapai ia akan awan dengan tangannya, dan mengambil ia akan ikan di pantai laut serta dibakarnya kepada matahari. Dan berjalan ia di dalam laut sekadar tumitnya. Keluar ia daripada negeri Khurasan dan berteriak ia tiga kali. Mendengar akan dia oleh ahli Masyrik dan ahli Maghrib. Dan dilipat akan bumi baginya yakni disingkatkan bumi itu baginya hingga beberapa jauh sekalipun dapat ia berjalan dengan satu saat. Dan ada baginya seekor himar (keldai) yang terpotong ekornya. Putih warnanya dan antara dua telinga himar itu empat puluh hasta. Dan kata Qil tujuh puluh hasta dan dapat bernaung di bawah salah satu daripada dua telinganya tujuh puluh orang. Dan satu langkahnya itu perjalanan tiga hari. Maka ditaruh di atas belakangnya itu mimbar daripada tembaga. Maka duduk Dajal di atasnya, mengikut akan dia beberapa jemaah daripada jin dan manusia yang mempunyai permainan yang sia-sia (muzik dan seumpamanya) sekalian mereka itu; dan dipukul akan gendang di hadapannya dan gambus. Maka tiada mendengar akan yang demikian oleh seseorang melainkan mengikut akan dia, dan disuruh akan awan hujan, maka hujan ia. Dan disuruhnya sungai mengalir kepadanya, maka mengalir ia. Dan disuruh ia kembali, maka kembali ia. Maka jikalau disuruhnya kering, maka kering ia. Dan menyuruh ia akan bumi tumbuh, maka tumbuh ia. Dan disuruh keluar bendaharan daripada bumi itu, maka bendaharan itu, dan lagi sertanya beberapa bukit daripada roti dan makanan. Maka adalah manusia pada waktu itu di dalam mushaqah daripada ketiadaan makanan, melainkan orang yang mengikut akan dia, dan sertanya syurga dan neraka. Maka keduanya itu rupa-rupaan jua, bukan syurga dan neraka yang sebenarnya, kerana api neraka itu sungai air tawar lagi sejuk. Dan mendakwa dirinya Tuhan dan menyeru ia akan manusia supaya beriman dengan dia. Dan sertanya dua malaikat, seorang pada pihak kanan dan seorang sebelah kirinya. Menyerupai oleh keduanya dengan dua nabi. Kata sesetengah ulama yang ghalib bahawasanya Isa dan Muhammad. Maka apabila berkata Dajjal itu, "Tiadakah aku Tuhan kamu?" Kata salah seorang daripada dua malaikat,"Dusta engkau!" Dan tiada mendengar akan dia oleh seorang daripada manusia melainkan malaikat yang satu lagi. Maka berkata malaikat yang mendengar itu bagi taulannya itu,"Sedikit yakni benar engkau!" Maka mendengar oleh manusia akan perkataan malaikat itu bagi taulannya, "Benar engkau!" Maka menyangka oleh mereka itu akan bahawa malaikat itu membenar ia akan Dajjal. Pada hal ia membenar akan taulannya yang berkata, "Dusta engkau!" Maka orang yang tiada padanya dalil 'Mukholafatuhu Lilhawadis', mengikrar ia baginya dengan ketuhanannya. Seperti Yahudi dan segala perempuan dan I'rab (orang yang jauh daripada negeri dan kampung), maka berkata ia bagi seseorang, "Khabarkan olehmu akan daku, jika aku bangkitkan bagi kamu akan bapa kamu dan ibu kamu, adakah kamu naik saksi bahawasanya aku Tuhan kamu?" Maka berkata mereka itu bahkan; maka menyerupa oleh dua syaitan pada rupa bapa dan ibunya. Maka berkata keduanya, "Hai anakku!! Ikut olehmu akan dia, maka inilah Tuhan kamu". Maka orang yang berpegang teguh dengan dalil 'Mukholafatuhu Lilhawadis', inkarlah ia akan ketuhanannya Dajjal kerana bahawasanya Dajjal itu berjisim (bertubuh badan) ; berlaku atasnya oleh barang yang berlaku atas segala jisim-jisim : seperti lemah dan lainnya kerana lemah Dajjal itu pada akhir kerjanya, dan membunuh akan dia oleh nabi Isa anak Maryam, dan lagi buta matanya sebelah. Maka kerana inilah sabda Rasulullah s.a.w, "Hai segala hamba Allah, tetapkan oleh kamu yakni di atas agama kamu yang sebenar, maka bahawasanya lagi akan aku mensifatkan akan dia oleh seorang nabi yang dahulu daripada aku. Maka berkata Dajjal, aku nabi walhal bahawasanya tiada nabi kemudian daripada aku ; kemudian diulang pula kali yang kedua. Maka berkata ia bahawasanya aku Tuhan kamu, walhal tiada boleh engkau lihat Tuhan kamu hingga mati kamu. Dan bahawasanya ia buta sebelah dan Tuhan kamu tiada buta. Dan bahawasanya disuratkan di antara dua matanya (dahinya) kafir. Membaca akan dia oleh tiap-tiap mukmin yang pandai menulis atau yang tiada pandai menulis."(Al-hadith) Kata Sheikh Sahimi, bermula orang yang alim pada zaman itu sedikit. Hanya apabila sedikit ia maka banyaklah orang-orang yang mengikut akan Dajjal itu kerana jahil mereka itu. Maka sayugiyalah pada akhir zaman janganlah duduk jauh daripada orang alim, supaya lepas daripada fitnah Dajjal. Sabda Rasulullah s.a.w, "Tiada lepas fitnah Dajjal itu melainkan dua belas ribu lelaki dan tujuh ribu perempuan."

No comments:

Post a Comment