Keadaan Pemerintahan Imam Mahdi Di Dalam Dunia

Maka Imam Mahdi di zaman itu tersangatlah gagah perkasa. Maka berhimpunlah sekalian manusia kepadanya kerana berharap masing-masing akan mendapat pertolongan dan perlindungan serta keimanan daripadanya, sehingga penuh sesak mereka itu kepada Imam Mahdi seperti berhimpun lebah kepada ibu madunya. Dan telah dikurniakan oleh Allah Taa'la kepadanya dengan tiga ribu malaikat yang memukul sekalian muka orang-orang yang menyalahi Imam Mahdi itu. Maka di dalam malaikat yang banyak itu termasuk Jibrail dan Mikail. Dan juga pada masa itu boleh berhimpun kambing dengan harimau pada satu tempat yang sama; bermain kanak-kanak dengan segala ular dan kala dengan tiada memberi sesuatu mudarat sekalipun. Orang yang membuat perhumaan dan bendang pada masa itu cukup makmur sehingga secupak benih semaian digandakan oleh Allah Taa'la dengan tujuh ratus cupak. Dan dihapuskan oleh Imam Mahdi akan beberapa perkara yang maksiat seperti makan riba, berzina, minum arak dan segala fitnah serta yang lain-lainnya. Dan menunai ia akan segala amanah; mendirikan ia akan keamanan di seluruh alam ini, sehingga perempuan pergi haji dengan jemaah perempuan sahaja yang tidak memerlukan seorang lelaki pun bersama-sama dengan mereka itu. Tiada takut oleh mereka itu akan sesuatu pun melainkan takut mereka itu semata-mata kepada Allah Taa'la jua.

No comments:

Post a Comment