Bahawasanya hendaklah diketahui akan dia supaya kita sedar akan diri kita.
Firman Allah Taala : (ينبوءالانسان يومئذ بما قدم واخر), ertinya dikhabarkan dan diberi ketahui akan manusia pada hari kiamat dengan sekalian amalan yang baik dan yang jahat yang telah mendahulu ia akan dia, dan dengan segala amalan yang tiada membuat ia akan dia di dalam dunia ini daripada segala amalan baik. Firman Allah Taala :
بَلِ الاِنْسانُ على نَفْسِهِ بَصِيْرَةٌ وَلَوْ أَلْقَى مَعَاذِيْرَهُ , ertinya bahkan bermula manusia itu yaitu kena soal (tanya) atas amal dirinya sama ada amal yang baik atau amal yang jahat dan sama ada yang telah perbuat atau tidak. Dan jikalau mendatang ia akan beberapa perkara keuzuran sekalipun, kena soal juga. (Surah Al-Waqiah) Telah berkata Faqih Abu Aliyas, bahawasanya pada hari kiamat didatangkan akan empat kaum, meminta uzur oleh tiap-tiap orang daripada mereka itu. Maka tiada diterima akan keuzuran mereka itu. Adalah (kaum yang pertama), yaitulah orang kaya meminta uzur ia; bahawasanya aku kaya dan masyghul (bimbang) dengan segala hartaku, maka tiada lapang aku bagi membuat ibadat kepada Engkau. Maka firman Allah Taala, bahawasanya Nabi Sulaiman menjadi raja ia antara masyrik dan maghrib (timur dan barat), tiada pernah ia derhaka akan Tuhannya. Maka keuzuran engkau tiada aku terima akan dia, lepas itu dihalaukan kepada neraka. (Yang kedua) Orang-orang yang fakir meminta uzur ia dengan sebab fakirnya, menjadikan tiada senang bagi hendak buat ibadat kepada Allah. Maka jawab firman Allah Taala, bahawasanya Nabi Isa itu fakir, maka kuat ia ibadat kepada Allah. Maka tiada diterima akan keuzurannya. (Yang ketiga) Hamba orang minta uzur ia; bahawa tiada lapang bagi ibadat kepada Tuhannya dengan sebab berkhidmat kepada penghulunya. Maka jawab firman Allah Taala, bahawa Nabi Yusuf itu jadi hamba sebab menjual akan dia oleh segala saudaranya, maka kuat ia beribadat kepada Allah. Maka tiada juga diterima akan keuzurannya. (Yang keempat) Orang yang sakit minta uzur ia; bahawa tiada lapang masa bagi ibadat kepada Allah dengan sebab sakit. Maka jawab firman Allah Taala, bahawasanya Nabi Ayub sakit yang amat sangat, maka kuat ia beribadat kepada Allah Taala.
No comments:
Post a Comment